Home World

China teruskan Festival Daging Anjing walaupun dikecam

BEIJING: Festival Daging Anjing pada minggu ini, yang menjadi acara tahunan di Yulin, China, tetap diteruskan walaupun dikecam pelbagai pihak, terutama kerana bimbang mungkin memburukkan lagi penularan COVID-19.

Aktivis dan pencinta haiwan berharap festival penuh kontroversi itu akan dihentikan tahun ini berikutan ancaman virus terbabit, namun sambutan terus rancak di bandar di selatan China.

Bagaimanapun, tahun ini, festival selama seminggu bermula Ahad lalu itu dijenamakan semula sebagai ‘Festival Solstis Musim Panas’.

Meskipun penularan COVID-19 menyaksikan selera terhadap daging anjing semakin berkurangan terutama selepas virus itu dikaitkan dengan sebuah pasar menjual daging haiwan di Wuhan, permintaan tetap masih ada.

Daging anjing secara tradisi dipercayai baik untuk kesihatan di wilayah tertentu di China, tetapi amalan itu semakin berkurangan berikutan lebih ramai yang menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

Peningkatan kesedaran masyarakat umum terhadap kebersihan mendorong China menguatkuasakan undang-undang melarang pengambilan dan perdagangan hidupan liar.

Bulan lalu, Kementerian Pertanian mengkategorikan anjing sebagai haiwan peliharaan, bukan ternakan, namun tidak secara jelas melarang pemakanan haiwan itu.

Malah, undang-undang itu tidak merangkumi daging anjing, tetapi bandar berhampiran Yulin seperti Shenzhen dan Zhuhai, menjadi bandar pertama mengharamkan amalan memakan daging anjing di China pada April lalu.

Petikan video Festival Daging Anjing di Yulin tahun ini, yang disahkan AFP, menunjukkan puluhan anjing dikurung berhimpit dalam sangkar kecil lagi kotor selain beberapa gerai besar dengan timbunan bangkai anjing yang sedang dilapah.

Ramai pengguna media sosial China, Weibo, turut menggesa festival itu diharamkan sama sekali akibat COVID-19, dengan mengambil kira hakikat bahawa penularan wabak COVID-19 bermula di pasar awam.

Beberapa pakar menyatakan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat umum di China berhubung pemakanan daging anjing dan isu keselamatan makanan ketika dunia berdepan ancaman COVID-19.

Cadangan China untuk memperkenalkan undang-undang melarang kekejaman terhadap haiwan menerima sambutan baik ketika sesi Parlimen pada bulan lalu.

Biarpun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama kumpulan aktivis, Festival Daging Anjing di Yulin dikatakan sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa berkenaan dan diteruskan.

Sumber : AFP

0 comments on “China teruskan Festival Daging Anjing walaupun dikecam

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: