Letusan Gunung Merapi yang berlaku sebanyak dua kali di Gunung Merapi di Yogyakarta, Indonesia pada pagi Jun 21 (Ahad), dijangka tidak akan menjejaskan kualiti udara Malaysia walaupun debunya mencapai sehingga 6,000 meter ke udara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata ini kerana angin pada paras debu itu bertiup ke arah selatan dan barat daya.
Menurut beliau, tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara ini.
“Keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan kualiti udara di seluruh negara dalam keadaan biasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata sehingga 7 malam Ahad, empat lokasi di bandar utama menunjukkan bacaan IPU antara 0 hingga 50 atau kategori baik iaitu Seremban, Negeri Sembilan (47); Kota Tinggi, Johor (48); Kota Kinabalu, Sabah (21); dan Kuching, Sarawak (18).
Terdapat tujuh kawasan merekod kualiti udara sederhana, bacaan IPU melebihi 51 hingga 100 iaitu Batu Muda, Kuala Lumpur (56); Petaling Jaya, Selangor (54); Putrajaya (52); Bandaraya Melaka, Melaka (51); manakala masing-masing mencatat bacaan 58 di Tasek Ipoh, Perak; Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, Terengganu.
Dilaporkan, Gunung Merapi meletus pada 10.13 pagi dan 10.27 pagi tadi.
Sementara itu, Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan (BPPTKG) Yogyakarta masih menetapkan status Gunung Merapi pada tahap waspada.
Sumber : Bernama
0 comments on “Gunung Merapi letus dua kali, jangka tidak akan jejas udara Malaysia”