JUARA dunia tiga kali, Jorge Lorenzo mungkin akan membuat penampilan semula di MotoGP menerusi tiket wild card selepas Yamaha menandatanganinya sebagai pelumba ujian pasukan itu.
Pelumba berusia 32 tahun itu bersara tahun lalu selepas bergelut dengan kecederaan ketika di Honda.
Lorenzo memenangi gelaran juara dunia kelas perdana pada 2010, 2012 dan 2015 ketika bersama Yamaha.
Yamaha menerusi satu kenyataan berkata, Lorenzo mungkin akan menguji jentera YZR-M1 pada sesi ujian minggu depan di Sepang.
“Setakat ini tiada perancangan untuk memberikan tiket wild card kepada Lorenzo pada musim baru nanti tetapi Yamaha sedia memberi peluang kepadanya sekiranya dia bersedia untuk kembali berlumba,” kata kenyataan itu.
Yamaha masih menggunakan khidmat Maverick Vinales dan legenda Itali, Valentino Rossi sebagai pelumba utama mereka pada musim baru.
0 comments on “Lorenzo kembali beraksi”