Home News

KWSP mohon maaf pesakit kanser diusung ke kaunter

KWSP menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami pencarum tersebut dan keluarganya.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memohon maaf susulan seorang pencarum yang merupakan pesakit kanser terpaksa diusung ke pejabat KWSP Johor Bahru bagi menyempurnakan proses pengeluaran caruman.

“KWSP ambil maklum mengenai berita yang sedang tular berkaitan pengalaman perkhidmatan dari salah seorang ahli KWSP di Johor Bahru.

“KWSP amat kesal dan mohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli tersebut dan keluarganya. Pihak KWSP telah menghubungi dan berjumpa dengan ahli tersebut dan keluarganya untuk memahami situasi ini dengan lebih lanjut.

“Ini bukan sahaja bertujuan membantu kes ahli tersebut, malah kami akan menggunakan pengalaman kali ini untuk memperbaiki proses yang sedia ada supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan prihatin kepada ahli-ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Permohonan maaf KWSP itu dibuat ekoran hantaran Facebook seorang netizen Nur Sheila Abdullah yang menjadi tular di media sosial.

Nur Sheila berkata kakaknya berusia 56 tahun, seorang pesakit kanser tahap 4, terpaksa diusung oleh keluarganya ke pejabat KWSP, bagi mengeluarkan baki dari akaunnya.

“Saya dan abang saya ada membuat pertanyaan di kaunter pertanyaan KWSP Johor Bahru. Kakak kami seorang pesakit kanser memang “bed ridden”.

“Jadi kami meminta jasa baik pihak pegawai KWSP membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cop jari secara manual dan pengesahan diri pencarum. 

“Jawapan beliau agak menyedihkan. Beliau kata tidak boleh. Pencarum mesti hadirkan diri juga di pejabat untuk pengesahan cop jari menggunakan mesin mereka,” kata Nur.

“Tak kisahlah nak datang naik ambulans dan mengunakan “stretcher” pun boleh, janji datang,” tambahnya.

Berkongsi pengalaman menyedihkan itu, Nur berkata pejabat KWSP Johor Bahru tidak mempunyai keselesaan seperti ruangan parkir ambulans atau ruangan untuk pesakit yang hilang upaya untuk berada di situ.

“Yang ada hanya untuk OKU (orang kurang upaya) bukan hilang upaya. Yang menyedihkan lagi, ambulans yang kami sewa diarah oleh pengawal keselamatan mereka ke belakang bangunan dengan alasan tak nak mengganggu di depan bangunan.”

“Berpusing-pusing pemandu ambulans. Akhir sekali adalah seorang pegawai yang datang untuk menguruskan bab ambulans dan mengarahkan untuk tolak stretcher masuk ke kaunter.

“Yang menyedihkan saya lagi, salah seorang pegawai kata, sebenarnya boleh menggunakan cara cop jari manual cuma lambat.

“Kenapalah tak beritahu kami pada mula-mula kami buat pertanyaan. Kami tak kisah pun lambat janji kakak kami tak perlu ke sana?” soalnya lagi.

Nur turut menggesa KWSP mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi terbabit.

“Maklum balas saya tentang perkhidmatan KWSP ialah tolonglah kaji balik SOP syarikat anda.”

“Kita hidup di negara yang dikategorikan sebagai negara yang agak maju dan demokrasi. Ubahlah cara kita berfikir. “Think out of box and please do something on this” (Fikir di luar kotak. Tolong buat sesuatu tentang ini).

“Bukan niat untuk mencari kesalahan tapi cuma perlu untuk perubahan bagi kemudahan kami sebagai pencarum di masa akan datang,” tambah Nur.

Mengulas lanjut, KWSP bertegas bahawa akan mengambil berat terhadap aduan atau maklum balas daripada ahli mengenai tahap perkhidmatan untuk tujuan penambahbaikan berterusan.

“Sekali lagi, kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang telah berlaku,” jelasnya.

0 comments on “KWSP mohon maaf pesakit kanser diusung ke kaunter

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: