Home World

Sukan SEA ke-30: Majlis perasmian gilang-gemilang dalam dewan tertutup

Buat pertama kalinya dalam sejarah 60 tahun sukan dwitahunan itu, majlis perasmian berlangsung dalam dewan tertutup dan bukannya di stadium.

Temasya Sukan SEA ke-30 dibuka secara rasmi dengan penuh tradisi dalam satu majlis pembukaan penuh gilang-gemilang di stadium terbesar dunia, Philippines Arena, di Bulacan, dekat sini, malam.

Buat pertama kalinya dalam sejarah 60 tahun sukan dwitahunan itu, majlis perasmiannya berlangsung dalam dewan tertutup dan bukannya di stadium.

Lebih menarik lagi pada Sukan SEA kali ini, kawah obor sukan ini diletakkan di lokasi berbeza, iaitu di ‘New Clark Athletics Stadium’ yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bulacan, dan majlis penyalaan obor itu disiarkan melalui skrin di arena yang berkapasiti 55,000 orang itu.

Acara perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina oleh Lani Misalucha diikuti dengan persembahan bertenaga bertemakan ‘The Roots of our Strength’ yang menunjukkan pelbagai kebudayaan dan warisan negara itu dan dipersembahkan dengan siri tarian pahlawan dari Bagobo, Kalinga, Maguindanao, Islamik dan pre-Hispanik Visayans.

Perarakan para kontinjen diiringi sorakan ceria para penonton, sebaik sahaja memasuki arena itu dalam susunan mengikuti abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dengan kontinjen tuan rumah menjadi pasukan terakhir memasuki arena.

Kontinjen Malaysia didahului pembawa Jalur Gemilang dan juara dunia boling 2018 Rafiq Ismail, diikuti lebih 100 atlet dan pegawai termasuk Chef-de-mission (CDM) Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan dua timbalannya Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli.

Dengan berbaju Melayu dan berbaju kurung berwarna putih selain, bersamping warna merah dan bertengkolok (bagi lelaki) dan selendang bermotifkan Jalur Gemilang (wanita), tuan rumah Sukan SEA 2017 itu berjalan di hadapan penonton dengan penuh semangat dan menunjukkan kepelbagaian bangsa di Malaysia.

Selepas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan pembukaan Sukan SEA ke-30, penonton dipersembahkan dengan satu persembahan moden dan hip hop bertenaga oleh artis tempatan antaranya Inigo Pascual, Robert Sena, Apl.de.Ap dan KZ Tandingan sebelum acara penyalaan obor ditayangkan di skrin.

Peninju berkelas dunia dari Filipina, Manny Pacquiao dan Nesthy Petecio diberikan penghormatan sebagai pembawa obor, sebelum mereka menyalakan kawah obor yang menandakan bermulanya temasya 12 hari itu.

Sumber : Astro Awani

0 comments on “Sukan SEA ke-30: Majlis perasmian gilang-gemilang dalam dewan tertutup

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: