NEW YORK: Pengasas bersama Microsoft Corp (Microsoft), Bill Gates diumumkan sebagai lelaki terkaya di dunia, minggu lalu, sekali gus menewaskan Ketua Pegawai Eksekutif, Amazon.com Inc (Amazon), Jeff Bezos.
Bloomberg melaporkan, Gates meraih kedudukan itu buat kali pertama dalam tempoh dua tahun, dan kejayaan itu dipengaruhi keputusan mengejut Pentagon pada 25 Oktober lalu, untuk memberi kontrak pengkomputeran awan kepada Microsoft berbanding Amazon.
Menurut Indeks Jutawan Bloomberg, pengumuman itu mendorong kenaikan saham Microsoft sebanyak empat peratus, atau tambahan nilai kekayaan sejumlah AS$110 bilion (RM456.6 bilion
Kontrak pengkomputeran awan Pentagon itu dilaporkan bernilai AS$10 bilion (RM41.5 bilion).
Pengumuman Pentagon itu turut mengakibatkan saham Amazon menyusut kira-kira dua peratus, menjadikan nilai kekayaan Bezos kepada AS$108.7 bilion (RM451.2 bilion).
Namun, Gates, 64, dilaporkan sudah mendahului kedudukan Bezos, 55, berdasarkan urus niaga harian bulan lalu, apabila Amazon melaporkan penurunan keuntungan pertama dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, saham milik Amazon, iaitu syarikat peruncit dalam talian terbesar dunia itu, berjaya mengatasi penurunan berkenaan.
Indeks terbabit yang merekodkan kekayaan 500 individu terkaya di dunia, dikemas kini setiap hari, selepas dagangan saham Amerika Syarikat ditutup.
Individu terkaya di Eropah, iaitu Bernard Arnault berada pada kedudukan ketiga indeks terbabit dengan kekayaan AS$102.7 bilion (RM426.3 bilion).
Sumber : Agensi
0 comments on “Bill Gates lelaki terkaya dunia”