Vivian, 30, anak kepada penyandang kerusi parlimen itu mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, menang dengan majoriti 11,521 undi menewaskan empat pencabarnya iaitu calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin, 63, serta tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, 65, Chia Siew Yung, 46,  dan Sulaiman Samat, 36.

Vivian memperoleh 16,012 undi, Linda yang juga Ketua Bahagian PBS Elopura mendapat 4,491 undi manakala Hamzah (788 undi), Siew Yung (178 undi) dan Sulaiman (126 undi). 

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Hamsan Awang Supain di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan, pada jam 9 malam ini.

Kemenangan Vivian itu dapat mempertahankan kemenangan DAP di kerusi parlimen itu yang dimenangi mendiang bapanya sejak 2013 pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Jumlah majoriti undi diraih Vivian sebanyak 11,521 meningkat 1,423 undi berbanding yang diperoleh mendiang bapanya Stephen Wong sebanyak 10,098 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

PRK berkenaan menyaksikan seramai 21,595 pengundi atau 54.44 peratus keluar mengundi di 19 pusat mengundi membabitkan 90 saluran.

Vivian dalam sidang media selepas pengumuman itu berterima kasih kepada pengundi Parlimen Sandakan kerana memberi kepercayaan kepadanya.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) dan saya terharu dengan dedikasi beliau membantu saya pada kempen PRK Sandakan ini dan kepada beberapa menteri negeri serta persekutuan.

“Terima kasih kepada keluarga saya terutama ibu saya (Datin Florence Chong Mee Fook) yang menyokong saya sebagai ahli politik dan menjadi penyokong ketika bapa menjadi ahli politik,” katanya.

Menurutnya kemenangan ini adalah untuk mendiang bapa dan perkara pertama akan dibuat esok adalah menziarahi perkuburan bapanya. –

Sumber : Bernama