Seekor gajah di Zoo Negara ‘dimandikan’ dengan serbuk kunyit bagi memberikan khasiat tambahan kepada kulit haiwan tersebut.

“Pihak Adabi Consumer dengan kerjasama Zoo Negara telah ‘mandikan’ gajah dengan serbuk kunyit kira-kira pukul 9 pagi semalam.

“Gajah tersebut telah dilumurkan dengan kunyit pada keseluruhan badannya,” kata Adabi Consumer dalam Facebook miliknya malam tadi.

Tambahnya lagi, sebanyak tujuh kilogram serbuk kunyit telah digunakan untuk dilumurkan pada seekor gajah.

“Kemudian lumuran kunyit itu akan dibiarkan pada badan gajah agar khasiat pada kunyit meresap masuk ke dalam kulitnya.

“Kaedah melumur kunyit pada kulit gajah ini sebenarnya telah dipraktikkan di setiap zoo kerana khasiat semula jadi pada kunyit baik untuk kulit gajah,” katanya.

Adabi Consumer menambah, serbuk kunyit juga mempunyai pelbagai khasiat lain antaranya mampu merawat luka kecil, merawat gigitan serangga dan sebagai agen pemulih kulit.

Sumber : UTUSAN ONLINE